Bab 4
Pagi Jumaat yang tenang, ramai tetamu sudah mula mengerumuni
rumah Dato Safiya yang tersergam indah. Hari ini merupakan hari bersejarah buat
keluarga Dato Safiya kerana bakal menerima menantunya yang pertama. Segala
persiapan telah diatur dengan rapi dan teliti agar majlis perkahwinan anak
angkatnya berjalan dengan lancar.
“Aku nikah akan dikau Tajul Fahin Bin Tajul Mukmin dengan
anakku, Indah Harlina Binti Halim dengan mas kahwinnya seratus ribu ringgit
tunai” Encik Halim melafazkan akad nikah dengan tenang.
Tajul Fahin yang segak berbaju melayu berwarna putih perak,
tenang melafazkan akad nikah dengan sekali
lafaz bersaksikan imam dan para
tetamu yang hadir. Dato Safiya bersyukur akhirnya Tajul Fahin dan Indah sah
bergelar suami isteri. Dia kini boleh menarik nafas lega apabila segala
perancangannya berjalan lancer. Walaupun pada asalnya dia ingin menggandingkan
Indah dengan anak sulungnya, Tajul Razin, namun dia tetap bersyukur kerana
hajatnya yang meinginkan anak perempuan akhirnya tercapai. Selepas ini, giliran
Tajul Razin pula berkahwin tidak lama lagi. Dia berharap agar jodoh anaknya
dengan Ilyana berkekalan apabila mereka disatukan kelak..
Usai selesai menunaikan solat sunat, pengantin lelaki pun
menghampiri Indah yang tunduk dan manis berbaju senada dengannya. Dia mencapai
tangan Indah dan menyarungkan cincin perkahwinan mereka. Namun, Indah perasan
yang cincin tersebut merupakan cincin yang pernah diberi oleh Tajul Razin
kepadanya. Eh, kenapa pulak cincin ni yang tersarung kat jari aku?
Indah mengangkat mukanya dan terkejut apabila Tajul Razin
berada di hadapannya. Kenapa pulak mamat muka yang paling aku menyampah ni yang
sarung cincin kat jari aku? Bukan ke patut suaminya, Tajul Fahin yang sarungkan
cincin? Dah tu cincinnya pulak cincin yang pernah aku pulangkan dulu? Ini sudah
pelik. Indah kehairanan. Dia tercari-cari kelibat lelaki yang baru bergelar
suaminya sebentar tadi.
“Sayang cari siapa tu? Abang ni ada kat depan mata takkan
sayang tak nampak” Tajul Razin menegur Indah yang sepertinya tercari-cari
sesuatu.
“Saya cari suami sayalah. Mana dia?”balas Indah masam
mencuka.
“La…abang kan suami sayang. Buat apa nak cari-cari lagi”
Tajul Razin ketawa.
Indah terkejut bukan kepalang. Eh apa ni? Tadi bukan ke yang
akad nikah si adiknya? Apasal pulak abangnya jadi suami aku. TIDAK!!!
Indah terjaga dari tidurnya.
“Ya ALLAH!! Mimpi rupanya.” Indah meraup mukanya yang
dibasahi peluh. Dia segera bangun dan pergi ke bilik air untuk mengambil wudhu.
Dia ingin menenangkan hatinya yang gelisah dek mimpinya.
Usai solat sunat, Indah duduk di sejadahnya. ‘Apa petunjuk
yang ingin Kau berikan, Ya Allah’ bisik Indah di dalam hatinya. Dia berdoa agar
majilis pernikahannya yang bakal berlangsung pada hari ini berjalan dengan
lancar.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Majlis pernikahan Indah Harlina dan Tajul Fahin bakal
berlangsung tidak lama lagi. Di bilik Indah, Mak Kiah, mak andam di kampungnya
sedang menyolek Indah yang tampak anggun dengan persalinan berona putih krim. Dia
dan Mak Kiah sempat berbual-bual mengenai ayahnya yang kini berubah sikap.
“Mak Kiah kesian tengok Indah kena halau dengan ayah Indah. Sejak Wati tu kahwin dengan Safuan, Mak Kiah tengok ayah Indah tu dah tak macam rupa orang. Asyik je ikut cakap bini.”ngomel Mak Kiah.
“Entah lah Mak Kiah. Indah pun tak tahu kenapalah Abah benci sangat dengan Indah. Indah ni rasa macam Indah pulak anak tiri Abah” keluh Indah sambil kepalanya kusut memikirkan mimpinya yang bertandang semalam.
“Tak apa Indah. Mak Kiah dah kenal Indah dari kecik lagi. Mak Kiah tahu Indah bukan macam yang ayah Indah sangkakan. Indah bawak bersabar yea. Mungkin nanti, Indah akan lagi bahagia bila dah kahwin ni. Mak Kiah pun dah tak sanggup tengok Indah menderita lagi. Mak Kiah berdoa agar Indah bahagia dengan suami Indah hingga ke anak cucu” Mak Kiah menenangkan Indah sambil tangannya lincah membetulkan selendang di kepala Indah.
“Amin….Moga doa Mak Kiah termakbul hendak-Nya” balas Indah sambil tersenyum.
Namun gundah di hati Indah hanya Allah yang mengetahuinya. Sungguh dia tidak tenang. Dia merasakan akan terjadi sesuatu di pernikahannysebentar lagi. ‘Ya Allah, janganlah apa-apa buruk jadi kejap lagi. Sungguh aku tak kuat menghadapinya’ Doa Indah di dalam hatinya sekuat-kuatnya.
“Indah, Dato panggil kau suruh masuk bilik dia” kata Hasma setelah masuk ke biliknya tiba-tiba.
“Oh yeke? Ayah dengan makcik aku dah sampai?” tanya Indah sebelum melangkah keluar.
“Dah. Tapi aku tengok muka ayah dengan mak tiri kau dah macam buah kedondong kat kampung aku. Masam gila” balas Hasma sambil menolong Indah yang terkial-kial dengan bajunya.
“Diaorang macam tak ikhlas je nak datang” keluh Indah.
“Dahlah Indah, jangan fikir macam-macam. Tu Dato dah tunggu kau lama dah. Baik kau pergi cepat. Aku tengok muka dia pun dah lain macam dah. Macam ada hal penting je nak bagi tahu kau” arah Hasma.
Indah kemudiannya berlalu ke bilik Dato Safiya. Dia melihat Dato Safiya duduk di sofa di dalam biliknya sambil termenung sebelum tersenyum apabila melihat Indah menghampirinya.
“Indah, hari ini merupakan hari yang bersejarah buat Aunty. Anak Aunty yang cantik rupawan ni akan kahwin. Aunty harap sangat Indah pun redha dan gembira sebab bakal menjadi sebahagian dari keluarga Aunty” Dato Safiya memegang tangan Indah.
“Aunty, apa yang baik untuk Aunty, baik jugak untuk Indah” balas Indah sambil tersenyum.
“Indah, Aunty nak Indah janji akan ingat pesan Aunty ni yea.” kata Dato Safiya tenang.
“Apa dia Aunty? Indah janji akan ingat sampai bila-bila pesan Aunty” tanya Indah sambil tertanya-tanya.
Dato Safiya menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara.“Indah,kadang-kadang
kita sangka dialah jodoh kita. Padahal Allah telah menetapkan dialah jodoh kita
dunia dan akhirat. Jadi Indah cintai dan terimalah dia seadanya yea”
Indah menyeka air mata di tubir mata bakal ibu mertuanya. “Baiklah Aunty. Indah janji Indah akan ingat nasihat Aunty tu. Tapi Aunty janganlah nangis”
Dato Safiya tersenyum lagi demi meredakan kerisauan anak kesayangannya. Sungguh hati Dato Safiya serba salah dengan Indah yang menderita kerana permintaannya. Harapannya agar Indah akan gembira dengan perkahwinannya yang bakal berlangsung sebentar sahaja lagi.
--------------------------------------------------------------------------------------------------
Indah duduk bersimpuh di tempat yang dikhaskan untuknya. Dia menjadi tumpuan mata para tetamu. Dari kejauhan, dilihatnya ayahnya sedang berjabat tangan dengan bakal suaminya untuk memulakan akad nikah. Namun, Indah terkejut dan terdiam seketika saat melihat pengantin lelaki yang berjabat tangan dengan ayahnya ialah Tajul Razin.
Tajul Razin dengan tenang melafazkan akad nikah “Aku terima nikahnya Indah Harlina Binti Halim dengan mas kahwinnya lapan puluh ribu ringgit tunai”
Jurunikah dan juga saksi berpuas hati dengan lafaz akad nikah yang dibuat oleh pengantin lelaki. Doa dibacakan setelah selesai akad nikah tersebut dan Tajul Razin tidak dapat menahan sebak mengalirkan air mata tanda kesyukuran kepada yang Maha Esa. ‘Syukur Alhamdulillah akhirnya impianku memperisterikan Indah Harlina tercapai juga. Terima Kasih, Ya Allah’ bisik Tajul Razin dalam hatinya.
Namun, lain pula yang terjadi dengan Indah. Dia seperti tertanya-tanya akan apa yang terjadi. Hasma yang berada di sampingnya turut merasakan hal yang sama. Dato Safiya yang duduk bersebelahan dengan Indah seakan-akan mengerti apa yang terbuku di fikiran menantunya. Dia berusaha menenangkan Indah dan mengingatkannya akan pesanannya sebelum majlis akad nikah berlanagsung.
Suasana tenang menyelubungi majlis membatalkan air sembahyang yang berlangsung selepas Tajul Razin selesai menunaikan solat sunat. Jari manis Indah disarungkannya dengan cincin yang pernah dibelinya suatu ketika dahulu dan menjadi saksi akan percintaan dan perpisahannya dengan Indah. Indah pula kelihatan seperti tunggul kayu yang tidak berperasaan saat Tajul Razin menyarungkan cincin tersebut. Tajul Razin faham mengapa isterinya sedemikian rupa. Dia nekad akan menjelaskan segala-galanya dan akan mencuba sedaya upaya bertahan dengan amarah Indah.
‘Siapa tak marah, dah la aku tinggal dia terkapai-kapai, lepas tu tiba-tiba kahwin pulak dengan dia’ bisik hati kecil Tajul Razin.
Namun Indah mengalirkan air mata saat suaminya mencium dahinya. Dia sebak kerana akhirnya dia dapat bersama dengan insan yang paling dicintai walhal selama ini hatinya sedaya upaya membencinya. Indah seketika terlupa akan persoalan yang membelenggu jiwanya dan dengan spontan mencapai tangan Tajul Razin dan menciumnya tanda dia telah meletakkan sepenuh harapan dan jiwa kepada suaminya. Dengan reaksi yang diberikan isterinya, Tajul Razin sekali lagi bersyukur kerana Indah mampu menerimanya walaupun dia telah melukakan hati Indah selama ini.
“Sayang, percayalah abang takkan sia-siakan sayang selepas ini” bisik Tajul Razin ke telinga Indah.
Rata-rata tetamu yang hadir sebak dan gembira melihatkan momen pasangan pengantin baru. Hasma juga seperti Indah, terlupa akan persoalan yang bermain di mindanya. Dia juga turut sebak saat melihat momen tersebut kerana dia sendiri antara saksi saat dua hati ini bersatu dan berpisah. Dia tumpang gembira melihat sahabatnya dunia dan akhirat akhirnya bersatu dengan pilihan hatinya. Mak Siti yang menangis teresak-esak terpaksa ditenangkan oleh Hasma. Dato Safiya pula tersenyum sambil mengalirkan air mata jernih tanda dia bersyukur akhirnya anak sulungnya bersatu jua dengan pilihan hatinya. Dalam hatinya juga, dia bersyukur kerana tiada hati sesiapa yang merana walhal dia risau akan keadaan Tajul Fahin yang hilang entah ke mana.
“Mungkin dia pergi mencari ketenangan kot, mama jangan risau yea” pujuk Tajul Zahin cuba menenangkan hati mamanya.
Mengimbas kembali kata-katanya anak bongsunya membuatkan hati Dato Safiya tenang. Harapannya agar Tajul Fahin diberikan kekuatan untuk menghadapi kisah cintanya yang tidak kesampaian. Dia juga berharap moga-moga badai yang selama ini melanda keluarganya akan berakhir tidak lama lagi dengan kehadiran Indah sebagai menantu sulungnya.
--------------------------------------------------------------------------------------
Usai majlis pernikahannya, Indah Harlina mengurung diri di dalam bilik pengantin yang juga merupakan bilik Tajul Razin. Dia terpaksa masuk ke bilik tersebut memandangkan dia tidak mahu ibu mertuanya dan yang lain mengesyaki yang bukan-bukan. Di tangannya, terdapat sepucuk surat yang diberikan oleh Dato Safiya semasa Indah berada di dapur. Surat tersebut merupakan peninggalan terakhir Tajul Fahin sebelum menghilangkan diri pada hari ini. Dengan cermat, Indah membuka dan membaca surat tersebut demi mengetahui isi kandungannya.
‘Assalamualaikum wahai Indah Harlina yang Tajul Fahin cintai,
Maafkan abang kerana
meninggalkan Indah di hari pernikahan kita. Hari yang sepatutnya menjadi memori
paling bermakna buat abang dan Indah kerana kita akan bergelar suami dan
isteri. Jujur abang katakan abang sebenarnya tak sanggup untuk meninggalkan
Indah pada hari ini tapi abang nekad demi melihat Indah bahagia. Abang tak
sanggup dan tak mahu menjadi kejam semata-mata ingin memenuhi impian abang
untuk memiliki Indah.
Indah, abang tahu, Indah sebenarnya masih sayangkan Abang Zen walaupun Indah menafikan sekeras-kerasnya. Sewaktu Indah dengan abang, abang perasan Indah tak seceria macam selalu. Malah, semua yang Indah suka yang ada kaitan dengan Abang Zen, Indah benci dan tolak mentah-mentah. Itu dah jelas bagi abang yang Indah masih sayangkan Abang Zen walaupun Indah sedaya upaya menyakinkan abang yang Indah akan berusaha menyintai dan menerima abang seadanya.
Indah, sesungguhnya
abang bersyukur dan berterima kasih pada Indah kerana cuba menerima abang dalam
hidup Indah. Abang juga nak berterima kasih pada Indah kerana melayan kerenah
abang dan memaafkan kesalahan abang kerana pernah cuba untuk meragut kesucian
Indah suatu ketika dahulu. Sungguh abang menyesal dan tak mampu untuk maafkan
diri abang atas keterlanjuran diri abang. Nasib baik pada malam itu, tiada
apa-apa yang berlaku. Kalau tidak, abang tak mungkin dapat memaafkan diri abang
buat selama-lamanya.
Indah, Abang Zen pernah bagi tahu abang, ‘Cinta itu Anugerah, tak boleh dipaksa-paksa’. Sekarang abang percaya dengan kata-kata tersebut. Walau macam mana pun Indah memaksa diri untuk terima abang tapi Indah masih sayangkan Abang Zen kan? . Oleh itu, abang rela mengalah demi melihat Indah bahagia bersama dengan orang yang Indah cintai sepenuh hati. Janganlah Indah bimbang. Walaupun abang kehilangan Indah tapi abang akan bahagia asalkan Indah pun bahagia. Tapi tak salahkan kalau abang simpan Indah dalam hati?
Indah, sebelum abang mengundur diri abang ingin memohon kemaafan dari Indah andai selama ini abang banyak menyakiti hati dan perasaan Indah. Abang doakan semoga Indah bahagia dengan Abang Zen hingga ke akhir hayat and Welcome To Our Family, Indah Harlina. Sekian’
Indah mengalirkan air mata saat dia habis membaca surat kiriman Tajul Fahin. Dia tidak menyangka Tajul Fahin memahami isi hatinya. Walaupun Tajul Fahin dilihatnya seperti tidak mempedulikan perasaan orang di sekelilingnya, akan tetapi untuk kesekian kalinya dia mengkagumi Tajul Fahin. Namun, bebeza pula dengan Tajul Razin. Indah masih tidak mampu menerima Tajul Razin sebagai suaminya sepenuh hati. Sungguh dia masih ingat betapa remuknya hati saat Tajul Razin mempermainkan perasaannya sehingga dia merana seluruh jiwa dan raganya. Indah keliru mengapakah Tajul Razin sanggup melukakan hatinya?
Indah memandang sepi hiasan di bilik pengantinnya. Matanya terpandang akan botol-botol wangian yang tersusun di atas meja solek. Kesemuanya berjumlah 8 botol tanda cinta antara dirinya dan Tajul Razin. Dia mengambil sebotol wangian ‘Sweetheart Always’ dan menghidu wangiannya. Wangiannya tersebut mengingatkannya akan cinta hatinya.
Tiba-tiba Indah merasakan pinggangnya dirangkul dari belakang. Bau wangian yang biasa dihidu oleh Indah menusuk hidungnya.
“Sayang….abang ingat lagi. Sayang suka sangat bila abang hadiahkan pada sayang” bisik Tajul Razin lembut.
Tiba-tiba Indah merasa telinganya berdesing dengan panggilan ‘sayang’ tersebut lalu dia meronta-ronta minta dilepaskan dari pelukan Tajul Razin.
“Apa sayang-sayang ni?! Rimas la. Lepaskan saya la Encik Zen!”marah Indah sambil masih cuba untuk melepaskan diri.
“Okay….abang lepas. Tapi sayang jangan la marah-marah dengan panggil abang macam ni” ujar Tajul Razin sambil melepaskan isterinya.
“eee….rimas la nak panggil abang-abang ni. Encik Zen ingat saya tak marah dan boleh lupa ke dengan apa yang encik dah buat” jerkah Indah. Entah kenapa hatinya begitu sakit sehingga dia berani memarahi suaminya.
“Indah, abang tahu abang salah sebab sakitkan hati Indah sangat-sangat but I can explain” rayu Tajul Razin.
“Explain?! Dah terlambat Encik Zen. Jangan ingat saya ni senang-senang boleh maafkan Encik Zen. Encik Zen buat saya macam barang. Bila encik suka, encik ambil. Bila tak, buang macam tu je. Ingat saya boleh lupa ke?” balas Indah separuh menjerit. Biarlah apa Dato Safiya atau Mak Siti fikir, Indah sudah tidak peduli. Dia melepaskan geramnya yang terpendam sekian lama.
“Sayang, janganlah macam ni. Abang betul-betul minta maaf okay. I’m so sorry. Tolong lah maafkan abang.” rayu Tajul Razin. Dia tahu dia telah menyakiti hati Indah dan perbuatannya amatlah sukar dimaafkan. Namun, andai diberikan jalan lain, pasti dia tidak akan sesekali menyakiti hati pujaan hatinya yang seorang ini.
“Dah, saya taknak dengar apa-apa lagi. Lebih baik Encik Zen keluar!. Keluar!” jerit Indah. Sungguh Indah tidak mampu berhadapan dengan suaminya. Dia tahu adalah berdosa menengking dan memarahi suami, namun dia tidak mampu menahan beban yang dia tangggung olehnya selama ini.
Tajul Razin akhirnya mengalah. Dia keluar dari bilik pengantinnya sambil melihat Indah yang mula teresak-esak menangis. Mahu sahaja Tajul Razin pergi menenangkan isterinya, namun ditegah dirinya melakukan hal tersebut. Silap hari bulan, mahu penampar Indah untuk kali yang kedua hinggap di pipinya jika dia berbuat demikian. Dia juga tidak mahu merumitkan lagi keadaan. Dia harus rasional bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Dibiarnya Indah bersendirian di dalam bilik.
‘Biarlah…mungkin esok nanti Indah akan okay. Bila dia dah okay, aku akan jelaskan semuanya’ bisik hatinya.
Tajul Razin baring di sofa di ruang tamu. Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, dia dihalau keluar pada malam pertama dia bergelar seorang suami. Kalau orang lain mungkin sedang indah dibuai asmara, namun dia, dihalau keluar oleh isteri sendiri. Apa boleh buat, dah nasib badan. Tajul Razin mengeluh lagi. Akan tetapi dia berazam akan mengubati parut di hati Indah dan akan melayari bahtera perkahwinannya dengan bahagia sehingga dicemburui oleh mata-mata yang memandang.
“Eh Zen, kenapa tidur kat sini?”tegur Dato Safiya yang kebetulannya lalu untuk ke biliknya di tingkat atas.
“Zen kena halau ma. Indah marah sangat dengan Zen atas apa yang berlaku selama ni. Tu yang dia halau Zen” Tajul Razin tersenyum kelat.
“Marahnya Indah dekat Zen yea. Tak apa la, Zen sabar yea. Mama rasa marah Indah tu sekejap je. Lagipun dia penat sebab ramai tetamu tadi kan? Esok dia okaylah tu” Dato Safiya menenangkan anaknya.
“Baiklah ma. Zen harap Indah tak marah lagi dengan Zen esok. Bolehlah Zen explain apa yang dah jadi sebenarnya selama ni” bala Tajul Razin cuba untuk meyakinkan diri dan mamanya.
“Harap-harap macam tu la hendaknya. Tiba-tiba mama rasa bersalah sangat. Kalau tak kerana permintaan mama untuk Zen lupakan Indah dan lihat Fahin berubah, tentu semua ni takkan berlaku. Mama menyesal sangat-sangat Zen”keluh Dato Safiya. Perasaan bersalah menyelubungi dirinya. Kenapalah dia sanggup memenuhi permintaan anak keduanya dan melukakan hati anak yang banyak berkorban demi keluarga dan impiannya. Sungguh Dato Safiya kesal.
“Ma…janganlah cakap macam tu. Mama pun tersepit jugak. Kalau tak disebabkan Fahin desak mama suruh kahwinkan dia dengan Indah., tentu hal macam ni tak terjadi. Lagipun, Zen tak pernah salahkan mama atau sesiapa termasuk adik Zen sendiri dengan apa yang dah jadi. Zen anggap ini semua takdir yang ditentukan-Nya dan Zen percaya ada hikmah disebaliknya” Tajul Razin menenangkan mamanya yang mula kelihatan stress.
“Zen, mama nak minta maaf sangat dengan Zen. Mama tak sepatutnya buat macam tu. Mama tahu Zen dengan Indah saling mencintai antara satu sama lain. Mama tak sepatutnya pisahkan kamu berdua. Mama silap Zen.” Air mata mula mengalir dari tubir mata Dato Safiya.
“Mama, dahlah tu. Jangan menangis. Kan Zen dah cakap tadi. Semua ni bukan salah sesiapa tapi telah tersurat di dalam takdir keluarga kita. Mama jangan nangis lagi yea. Sekarang Zen nak mama naik atas berehat. Jangan fikirkan masalah-masalah ini semua. Pasal Indah, mama jangan risau. Pandai-pandailah Zen pujuk dia nanti” kata Tajul Razin cuba untuk meredakan tangisan Dato Safiya. Cukuplah mamanya menderita selama ni. Dia tak sanggup melihat mamanya jatuh sakit seperti dulu. Dia lebih rela menderita daripada melihat orang di sekelilingnya merana.
Tajul Razin menemani Dato Safiya ke kamarnya. Tangisan mamanya juga mulai reda. Dia menemani mamanya sebentar sebelum meminta izin untuk keluar.
“Zen….mama harap sangat agar Zen dengan Indah boleh jadi macam dulu dan mama doakan semoga anak mama ni bahagia hingga ke akhir hayat” Tajul Razin hanya tersenyum sebelum keluar meninggalkan bilik mamanya. Pesanan mamanya sedikit sebanyak menguat azamnya untuk mengejar kebahagiaan yang dia angankan selama ini.Doa Tajul Razin agar Indah dapat menerimanya kembali seperti dulu. ‘Indah, janganlah Indah merajuk dan marah-marah dengan Abang lagi. Abang janji akan bahagiakan Indah seumur hidup abang’ bisik Tajul Razin mengharap.
----------------------------------------------------------------------------------------
‘Abang Zen, Maafkan Indah atas sikap Indah yang tidak menghormati abang sebagai suami. Sesungguhnya Indah keliru dengan apa yang terjadi. Untuk itu, biarlah Indah pergi untuk sementara. Selamat tinggal suamiku-Indah Harlina’
Nota yang ditinggalkan Indah dibaca oleh Tajul Razin. Dia terduduk setelah membacanya. ‘Indah….sayang pergi mana? Bagilah abang peluang untuk jelaskan apa yang terjadi selama ini’ bisik Tajul Razin bimbang.
Pagi tadi, Tajul Razin cuba mengetuk pintu biliknya. Namun
dia sebarang respon lalu dia pun dengan nekad masuk ke biliknya tanpa mengambil
kira risiko yang bakal dihadapi. Yelah…Indah mungkin akan menjerit dan menyuruh
dia keluar kerana masih marah padanya. Namun dia tidak peduli, apa nak jadi,
jadilah. Dia tidak sanggup terus-terusan bermasam muka dengan isterinya.
Tajul Razin hampa apabila isterinya tidak kelihatan setelah dia memasuki biliknya. Dijenguknya ke bilik air, kosong. Lantas, dia menuju ke bilik Tajul Fahin. Namun hanya hiasan kamar pengantin yang memenuhi ruang tersebut tanpa kelibat sesiapa. Hendak diterjahnya bilik adik bongsunya, Tajul Razin berfikir dua kali. ‘Tak mungkin Indah nak masuk bilik Zaf’. Dia akhirnya berlalu ke dapur sambil berharap agar bayang isterinya ada di situ. Sekali lagi Tajul Razin hampa kerana Indah tiada di situ. Yang ada hanyalah Mak Siti dan si gebu Teana yang sedang leka makan.
Tajul Razin menuju semula ke biliknya. Mencari sebarang petunjuk di mana isterinya berada dan berjaya menemui nota yang ditinggalkan Indah bersama telefon bimbitnya. Hancur hati Tajul Razin mengenangkan isterinya sanggup meninggalkannya. Namun, setelah membaca nota tersebut, dia redha dan segera bersiap untuk mencari isterinya. ‘Ya Allah, temukanlah aku kembali dengan isteriku. Janganlah Kau pisahkan kami lagi’ bisik hati Tajul Razin sepanjang perjalanan mencari isterinya yang hilang entah kemana.
Bersambung ke bab seterusnya J
No comments:
Post a Comment